Kuala Lumpur, 21 Februari 2013
– Menampilkan pelbagai bentuk karya seni yang dihasilkan pelukis
tersohor negara, Latiff Mohidin sejak dari tahun-tahun 1950an hinggalah
2000an, Balai Seni Visual Negara (BSVN) dengan besar hati
mempersembahkan Pameran 60 tahun Latiff Mohidin RETROSPEKTIF yang
mempamerkan sejumlah 344 buah karya termasuk lukisan, catan, cetakan dan
arca di empat buah galeri utama BSVN.
Menyusuri sepanjang
perjalanan karier pelukis tersohor negara Latiff Mohidin, banyak jiwa
yang telah tersentuh dan terkesan melalui karya-karya seni beliau dan
juga nukilan puisi beliau. Sebagai individu yang memulakan kerjayanya
dengan mengadakan pameran solo pada usia 11 tahun, ini merupakan tahun
yang paling penting dalam perjalanan seni beliau kerana telah genap 6
dekad penglibatannya sebagai seorang penggiat seni.Pameran ini memuatkan karya-karya yang terkumpul ke dalam 12 siri karya; sembilan siri catan dan tiga bentuk selain catan. Sembilan buah siri catan utama tersebut adalah Pra Berlin (1951 - 1959), Berlin (1960 - 1964), Pago-Pago (1964 - 1969), Mindscape 1 (1974), Langkawi (1976 - 1980), Mindscape 2 (1982), Gelombang (1988), Rimba (1997) dan Vovage (2001), serta siri-siri kecil dan bentuk selain catan.
Pameran 60 tahun Latiff Mohidin RETROSPEKTIF juga dibahagikan kepada tiga period masa yang menggambarkan tahap perkembangan artistik Latiff Mohidin. Period-period itu ialah Period Formatif: waktu mula mengenal, mempelajari dan meneroka dunia seni rupa, Period Meditatif: waktu mendalami peranan dan tanggungjawab beliau sebagai seorang seniman dan Period Gestural: waktu karya, samada karya seni rupa atau sastera, menunjukkan kematangan dari segi aspek tema, gubahan dan teknik.
Menurut Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Dato' Mohd Rozali Isohak dalam ucapan aluannya, "Pameran ini mensintesis kesan pelbagai mood dan genre dalam seni lukis yang mewujudkan kepelbagaian dimensi melalui apresiasi seni. Latiff Mohidin memberi penumpuan terhadap pendekatan stailistik yang berbeza dan lebih menarik dengan menggambarkan watak daripada karya puisi, lukisan dan pengalaman beliau."
Selama 6 dekad penglibatan Latiff Mohidin dalam seni visual tempatan dan antarabangsa, beliau telah banyak melahirkan karya-karya agung yang menjadi titik rujukan kepada generasi selepasnya serta pelapis muda. Beliau sentiasa bereksperimen dan mempertingkatkan kebolehan beliau dengan pelbagai pendekatan. Sebagai seorang pelukis dan juga seorang penyair serta penulis sajak, karya lukisan serta lenggok puisi yang dihasilkan lahir dari jiwa beliau sendiri dan gubahannya sentiasa diselitkan dengan unsur-unsur alam.
Pameran 60 tahun Latiff Mohidin RETROSPEKTIF telah dirasmikan oleh YB Datuk Joseph Salang, Timbalan Menteri I, Kementerian Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan Malaysia di BSVN. Dalam ucapan perasmiannya, Joseph salang berkata, "Pameran ini sangat istimewa, kerana inilah julung-julung kali sebuah Pameran RETROSPEKTIF yang menghimpunkan lebih dari 300 buah karya dari 28 kolektor oleh seorang pelukis tersohor negara. Beliau telah banyak menerima anugerah seni dan sastera dari badan-badan kebangsaan dan antarabangsa sebagai pencapaian peribadi beliau. Latiff Mohidin telah berjaya mencipta satu period pembangunan dan modenisasi dalam seni visual Malaysia."
Latiff Mohidin tidak pernah berhenti berkarya, sentiasa melahirkan karya yang hebat sejak dari kecil dan sehingga kini setelah 60 tahun penglibatannya dalam lapangan seni, beliau masih mencari keajaiban untuk mewujudkan sesuatu yang sentiasa boleh dinikmati oleh orang ramai pada masa hadapan.
Pameran 60 tahun Latiff Mohidin RETROSPEKTIF telah mula dibuka kepada orang ramai pada 26 Disember 2012 (26 Disember - adalah tarikh di mana Latiff telah mengadakan pameran solo pertamanya di Singapura 60 tahun lalu) dan pameran tersebut akan berlangsung sehingga 13 Jun 2013. Pendokumentasian visual, berupa himpunan illustrasi kulit depan buku-buku puisi dan penerbitan lain hasil tangan Latiff Mohidin juga turut dipamerkan di dalam pameran ini.
Sempena perasmian Pameran 60 tahun Latiff Mohidin RETROSPEKTIF, BSVN juga turut melancarkan penerbitan Katalog Pameran 60 tahun Latiff Mohidin RETROSPEKTIF yang mengumpulkan sorotan pengalaman seni serta latar belakang Latiff Mohidin serta penterjemahan koleksi karya-karya Latiff Mohidin selama 60 tahun perjalanan seni beliau. Pameran ini dibuka setiap hari dari jam 10.00 pagi sehingga 6.00 petang di Galeri 2A, 2B, 3A dan 3B BSVN. Orang ramai dijemput hadir.
Source : http://www.artgallery.gov.my